Ekspedisi Ilmu : Mengintai Bintang, Memartabatkan Kalam

4 September 2025, Pusat Falak Bintulu & Masjid Assyakirin Bintulu - Seramai 40 pelajar dan staf Politeknik Mukah berpeluang merasai pengalaman pembelajaran unik apabila menyertai Ekspedisi Ilmu ke Pusat Falak Bintulu baru-baru ini.
 
Program anjuran Jabatan Pengajian Am ini bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan ilmu falak dalam kehidupan umat Islam, khususnya berkaitan penentuan arah kiblat, waktu solat, dan fenomena astronomi. Peserta dibawa melawat kemudahan cerapan yang dilengkapi peralatan moden serta diberi taklimat oleh pegawai Pusat Falak mengenai aplikasi sains falak dalam ibadah harian.
 
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Mukah, Encik Mohamad Sobri Suhaili, lawatan ini amat bermakna kerana ia membuka ruang kepada pelajar untuk memahami ilmu falak secara praktikal. “Ilmu falak bukan hanya tentang bintang dan planet, tetapi ia memberi panduan penting dalam kehidupan seharian umat Islam. Lawatan ini membantu pelajar melihat kaitannya secara nyata,” katanya.
 
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Falak Bintulu, Ustaz Madzlan bin Majid, turut mengalu-alukan kedatangan rombongan Politeknik Mukah. “Kami berbesar hati menerima kunjungan ini kerana ia selaras dengan peranan Pusat Falak untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan ilmu falak. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan dengan lebih banyak program bermanfaat pada masa hadapan,” ujarnya.
 
Ekspedisi ini juga mengukuhkan hubungan baik antara Politeknik Mukah dan Pusat Falak Bintulu, sekaligus membuka peluang kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan pada masa depan.
 
Selain itu, pelajar dan staf Politeknik Mukah turut melawat Masjid Assyakirin Bintulu, yang berfungsi sebagai pusat pelupusan al-Quran di kawasan ini. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta memahami kaedah pelupusan mushaf al-Quran yang rosak atau usang, dilakukan dengan penuh tertib dan beradab bagi memelihara kesucian kalam Allah. Sepanjang sesi lawatan, peserta diberi penerangan oleh pihak masjid mengenai tatacara pelupusan yang sistematik serta kepentingannya dalam menjaga kehormatan al-Quran.
 
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Mukah, Encik Mohamad Sobri Suhaili, pengalaman ini menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada pelajar. “Pelupusan al-Quran bukanlah hal kecil, ia mencerminkan penghormatan umat Islam terhadap wahyu Allah. Melalui lawatan ini, pelajar belajar tentang adab serta rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kitab suci,” jelasnya.
 
Imam Masjid Assyakirin, Tuan Haji Abang Arshad Abang Anuar, Setiausaha Masjid Assyakirin pula menzahirkan penghargaan kepada rombongan Politeknik Mukah. “Kami amat menghargai kunjungan ini kerana ia mendidik generasi muda tentang pentingnya menjaga kesucian al-Quran hingga ke helaian terakhir. Semoga mereka membawa pulang ilmu dan mengamalkannya dalam kehidupan,” ujarnya.
 
Pihak rombongan turut membawa sebanyak 32.7 kilogram al-Quran dan buku - buku yang mengandungi ayat-ayat suci untuk dilupuskan. Lawatan ini diharap dapat menanam rasa cinta dan hormat yang lebih mendalam kepada al-Quran dalam kalangan warga politeknik, di samping mengeratkan hubungan kerjasama dengan institusi masjid di Bintulu.