Jalin Kerjasama Strategik Melalui EKSA: PMU Terima Kunjungan IPG Tun Abdul Razak

Politeknik Mukah telah menerima kunjungan rasmi daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak pada 24 Jun 2025 sempena sesi Mesyuarat Pengurusan yang memberi tumpuan khusus kepada pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).
 
Rombongan IPG KTAR diketuai oleh Encik Abu Bakar Sham bin Jamil, selaku Pengerusi EKSA IPG KTAR dan diiringi oleh Puan Dayang Sinarwaty Hidayat binti Abang Abu Bakar, Fasilitator EKSA IPG KTAR bersama ahli-ahli Jawatankuasa EKSA IPG KTAR. Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Timbalan Pengarah (Akademik) PMU, Encik Iskandar bin Reduan, serta Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik), Encik Sophian bin Sout. Turut mengiringi ialah Puan Izan Fahmee binti Nordin, Fasilitator EKSA PMU, barisan Jawatankuasa Induk EKSA serta ketua-ketua zon EKSA PMU.
 
Sesi dimulakan dengan tayangan video pengenalan EKSA PMU, yang memperlihatkan perjalanan transformasi budaya kerja kondusif di PMU. Ia disusuli dengan pembentangan amalan terbaik EKSA, merangkumi aspek pengurusan dokumentasi, susun atur fizikal, serta penglibatan menyeluruh warga kerja. Sesi soal jawab turut berlangsung secara interaktif, memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan dan pendekatan pelaksanaan EKSA yang berkesan.
 
Sebagai sebahagian daripada lawatan, delegasi IPG KTAR dibawa melawat ke beberapa zon EKSA PMU bagi tujuan penanda aras. Lawatan ini memberi peluang untuk melihat sendiri pendekatan kreatif dan inovatif PMU dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sistematik, selamat dan menyenangkan.
 
Kunjungan ini bukan sahaja menjadi platform untuk perkongsian amalan terbaik, malah memperkukuh hubungan strategik antara dua institusi pendidikan dalam memartabatkan budaya kerja cemerlang dan pengurusan organisasi yang mampan.