Sesi Libat Urus Kecemerlangan Tatakelola

Politeknik Mukah (PMU) telah berjaya melaksanakan Sesi Libat Urus Kecemerlangan Tatakelola pada 19 hingga 20 Jun 2025 bertempat di Kuching, Sarawak. Program ini melibatkan kunjungan rasmi ke empat agensi utama iaitu Politeknik Kuching Sarawak (PKS), Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.
 
Objektif utama sesi ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan prinsip tatakelola yang baik, membangunkan strategi pengurusan risiko integriti dan pengurusan aduan, memperkasa jaringan kerjasama antara agensi serta menerapkan budaya integriti dalam organisasi.
 
Sepanjang sesi lawatan dan libat urus ini, pelbagai input berharga telah diperoleh antaranya perkongsian amalan terbaik dalam aspek pentadbiran dan pengurusan institusi pendidikan tinggi, model pengurusan risiko serta mekanisme pengesanan awal isu integriti dalam organisasi. Selain itu, PMU turut didedahkan kepada peranan Unit Integriti dan SPRM dalam memperkukuh nilai integriti serta pelaksanaan inisiatif pendidikan antirasuah.
 
PMU diwakili oleh En. Suhaili bin Aleh PBK, En. Iskandar bin Reduan, En. Mohd Ridzuan bin Abdul Rahman, Ts. Mariati binti Masduki, En. Awang Annuar bin Awang Mansor dan Pn. Delicsia binti David.
 
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan PMU dalam memperkukuh budaya tadbir urus berintegriti serta memperluaskan jaringan strategik ke arah kecemerlangan institusi.