Pasaraya Lian Huat Salur Sumbangan Barangan kepada Pelajar B40 PMU

Mukah, 20 Mei 2025 – Pelajar daripada golongan B40 di Politeknik Mukah (PMU) terus menerima manfaat menerusi Program Foodbank Siswa Mukah 2025 yang berlangsung hari ini hasil sumbangan barangan keperluan harian bernilai lebih RM700 daripada Pasaraya Lian Huat, Oya. Program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Mukah ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar yang memerlukan. Penyerahan simbolik sumbangan telah disempurnakan oleh Tuan Nirwin Siffita bin Sidek, Pembantu Penguatkuasa KPDN Mukah, yang hadir mewakili Ketua Cawangan. Sumbangan telah diterima oleh Saudari Renee Sebastian, wakil pelajar daripada Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Politeknik Mukah, selaku penyelaras utama inisiatif Foodbank di kampus. Pengarah Politeknik Mukah, Encik Suhaili bin Aleh, dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Pasaraya Lian Huat dan pihak KPDN Mukah atas keprihatinan mereka. “Program seperti ini amat bermakna buat pelajar, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar. Sumbangan ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus melangkah maju dalam pengajian mereka,” katanya. Beliau turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil bekerjasama untuk memastikan kelangsungan program ini dalam membantu kebajikan pelajar secara berterusan. Inisiatif ini mencerminkan jalinan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan sektor industri dalam usaha membina komuniti yang lebih prihatin dan sejahtera.