Mukah, 16 April 2025 – Satu kunjungan hormat dari pihak i-CATS University College telah diadakan di Bilik Persidangan, Politeknik Mukah. Delegasi dari i-CATS University College telah disambut mesra oleh pihak pengurusan Politeknik Mukah dalam satu sesi perbincangan yang membuahkan pelbagai potensi kerjasama antara kedua-dua institusi. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkenalkan institusi masing-masing serta membuka ruang bagi menjalin kolaborasi dalam pelbagai aspek, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan dan jaringan industri. Perbincangan dua hala ini dilihat sebagai satu langkah awal ke arah membentuk hubungan strategik yang mampan antara Politeknik Mukah dan i-CATS University College. Dalam pertemuan tersebut, wakil i-CATS University College turut menyampaikan hasrat untuk menjemput pihak pengurusan Politeknik Mukah ke 'MoU and Letter of Intent Exchange Ceremony' yang akan diadakan di i-CATS University College, Kuching dalam masa terdekat. Jemputan ini adalah sebagai tanda sokongan dan permulaan kepada hubungan kerjasama yang bakal dimeterai secara rasmi. Politeknik Mukah amat mengalu-alukan kunjungan seumpama ini yang dilihat dapat memperkukuh jaringan kerjasama institusi pengajian tinggi di Sarawak demi manfaat bersama, khususnya dalam memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Sarawak.