Pelajar Kursus Business Ethics Jayakan Aktiviti Pembersihan Pantai dan Pengumpulan Barangan Kitar Semula di Kampung Litong, Mukah. Sekumpulan pelajar dari kursus Business Ethics telah melaksanakan Program GreenHeart CSR 2.0 Bersama Komuniti Kampung Litong pada 17 April 2025, yang memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan pantai serta pengumpulan bahan kitar semula di Kampung Litong, Mukah. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat, di samping mengiktiraf nilai sejarah kampung tersebut sebagai antara penempatan terawal di kawasan Mukah. Menariknya, Kampung Litong dipercayai sebagai lokasi asal bagi upacara Kaul, iaitu tradisi tahunan masyarakat Melanau untuk memohon rezeki dan perlindungan daripada semangat laut. Meskipun upacara Kaul kini diadakan di tempat lain di Mukah, kedudukan Kampung Litong sebagai lokasi asalnya memberikan kampung ini nilai warisan yang istimewa. Justeru, program CSR ini turut mengandungi elemen penghayatan sejarah bagi menyemai semangat cintakan warisan tempatan. Diharapkan usaha berterusan seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang demi kelestarian alam sekitar serta pemuliharaan warisan budaya negeri Sarawak.