2 – 4 Mei 2025 bersamaan 4–6 Zulqa’dah 1446H – Program Al-Falak telah berjaya dianjurkan di Dewan Serbaguna, Politeknik Mukah, hasil kolaborasi strategik antara Jabatan Mufti Sarawak dan Jabatan Pengajian Am, Politeknik Mukah.
Program ini menjadi wadah penting dalam memperkasa ilmu falak (astronomi Islam) dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi. Ia mengetengahkan hubungan erat antara ilmu falak dengan aspek akidah, ibadah dan sains, selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 yang menekankan pembangunan graduan holistik dan seimbang dari segi intelektual, spiritual, emosi dan fizikal.
Antara aktiviti utama sepanjang program termasuk ceramah berkaitan Akidah dan Falak, Fiqh dan Falak (termasuk rukyah, gerhana, takwim, arah kiblat dan waktu solat), aktiviti reka cipta berkonsepkan falak (Al-Ikhtira’), pencarian khazanah ilmu falak (Al-Harwalah), serta sesi cerapan langit malam (Iktisyaf As-Sama’). Aktiviti-aktiviti ini berjaya menarik minat peserta, terutama pelajar daripada pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, teknologi maklumat dan perdagangan.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak, dalam Majlis Tausiah Mufti yang berlangsung di Pusat Islam Politeknik Mukah. Majlis ini turut disokong oleh Jawatankuasa Pusat Islam serta komuniti kariah setempat.
Seramai 87 orang peserta telah menyertai program ini, termasuk pelajar dari UiTM Mukah. Ini jelas menunjukkan keterbukaan dan minat yang tinggi terhadap integrasi ilmu falak dengan bidang pengajian moden. Majlis penangguhan turut dihadiri oleh jemputan penting, Ustaz Haji Mohammad Syarifuddin bin Haji Abdul Kadir (Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa), Ustaz Haji Razalie bin Haji Hussaini (Ketua Penolong Mufti Bahagian Falak), Encik Suhaili bin Aleh (Pengarah Politeknik Mukah), Encik Iskandar bin Reduan (Timbalan Pengarah Akademik), Encik Sophian bin Sout (Timbalan Pengarah Sokongan Akademik), Encik Mohamad Sobri bin Suhaili (Ketua Jabatan Pengajian Am) serta para urus setia program dari Jabatan Mufti Sarawak dan Politeknik Mukah.
Melalui maklum balas yang dikumpulkan, peserta menyatakan rasa teruja dan berpuas hati dengan pengetahuan baharu yang diperolehi. Dalam ucapannya, Datu Mufti menekankan pentingnya penguasaan ilmu fardhu kifayah termasuk falak untuk membina masyarakat berilmu yang progresif serta tidak meninggalkan nilai spiritual dalam arus pembangunan negara.
Politeknik Mukah komited menyokong program-program berimpak tinggi seperti ini dalam usaha melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, tetapi juga berakar teguh pada nilai dan tuntutan dalam Islam.