PMU & Samling Jayakan Program Promosi TVET Di Marudi, Baram

 
Politeknik Mukah Sarawak (PMU) dengan kerjasama Samling Group of Companies telah berjaya melaksanakan Career and Education Guidance Event pada 28 dan 29 April 2025 bertempat di SMK Telang Usan dan SMK Marudi, Baram.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar, lepasan SPM, ibu bapa serta warga pendidik mengenai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). PMU mengambil inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti kepada komuniti luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Baram.
Sepanjang sesi outreach ini, wakil PMU telah memperkenalkan pelbagai program pengajian yang ditawarkan, termasuk dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, dan perdagangan. Turut dikongsikan ialah kelebihan menyambung pengajian di Politeknik, peluang kerjaya selepas tamat pengajian, dan pelbagai kemudahan yang disediakan kepada pelajar.

Dalam masa yang sama, pihak PMU turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan dua platform utama bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh institusi ini, iaitu Technology and Innovation International Conference (TECHON 2025) dan International Borneo Innovation Exhibition and Competition (IBIEC). Kedua-dua platform ini menyediakan ruang berprestij kepada para pelajar dan guru-guru untuk mengetengahkan hasil inovasi serta menyertai jaringan kerjasama akademik dan industri, sekaligus memperkasa budaya penyelidikan dan kreativiti dalam kalangan warga pendidikan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

PMU amat menghargai sokongan daripada Samling Group dalam merealisasikan program ini dan komited untuk terus memperkasa agenda TVET melalui kerjasama strategik bersama pihak industri dan komuniti.