Program Citra Warisan, Cakna Insan di Rumah Dayong, Sebauh Bintulu

22 – 23 Mac 2025, Bintulu — Program Citra Warisan Cakna Insan telah diadakan pada 22 hingga 23 Mac 2025 di Rumah Dayong, Bintulu, anjuran pelajar semester akhir Diploma Sains Kesetiausahaan, Politeknik Mukah dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dayong, Bintulu. Seramai 53 anak angkat dan 10 keluarga angkat terlibat dalam program ini.
Program ini merupakan salah satu keperluan akademik untuk memenuhi keperluan kursus DPK50183 Event Organization bagi pelajar semester 5, Diploma Sains Kesetiausahaan, Jabatan Perdagangan. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep kesukarelawanan, memupuk sikap penyayang serta tanggungjawab sosial dan memperkenalkan mereka kepada budaya serta gaya hidup masyarakat setempat. Sepanjang program berlangsung, pelajar telah menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, yang bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan komuniti tetapi juga membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.
Dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan, program ini diharapkan dapat melahirkan individu yang lebih bertanggungjawab serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.