PTPTN Santuni Komuniti Politeknik Mukah Melalui Program IMRAN 2025

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2025 di Politeknik Mukah. Program ini bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan di bulan Ramadan serta memperkukuh hubungan antara PTPTN dan institusi pendidikan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, 500 bungkus nasi beriani ayam diagihkan kepada pelajar, pensyarah, dan kakitangan politeknik dalam satu sesi gotong-royong bersama warga PTPTN dan Jawatankuasa Pusat Islam Politeknik Mukah.

Pengarah PTPTN Negeri Sarawak, Encik Yussuf bin Chik, menegaskan bahawa IMRAN bukan sekadar program sumbangan tetapi juga usaha memperkasa kebajikan pelajar dan memupuk nilai perpaduan serta kesukarelawanan. Pengarah Politeknik Mukah, Encik Suhaili bin Aleh, turut menghargai inisiatif ini dan berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

PTPTN komited untuk terus mendekati institusi pendidikan tinggi dan menyokong kebajikan pelajar di seluruh negara.