Bengkel Quick 40 Inventive Principles Perkasa Kemahiran Inovasi Pelajar Dan Pensyarah PMU

Mukah, 19 Mac 2025 – Politeknik Mukah (PMU) dengan kerjasama TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) telah menganjurkan Bengkel Quick 40 Inventive Principles di Bilik Seminar ULPL, PMU. Bengkel ini bertujuan memperkenalkan kaedah TRIZ, satu pendekatan inovatif dalam penjanaan idea dan penyelesaian masalah, kepada seramai 30 pelajar projek akhir dan 10 pensyarah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah PMU, Encik Suhaili bin Aleh, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan pemikiran kreatif dan inovatif dalam pendidikan serta bidang keusahawanan. Beliau turut menyatakan bahawa bengkel ini selari dengan usaha PMU dalam membudayakan inovasi, terutama sebagai persediaan bagi International Borneo Innovation Exhibition and Competition (IBIEC) yang akan dianjurkan oleh PMU.

Bengkel ini dikendalikan oleh Sharon Teo Pei Pei, Pengurus Pembangunan Bakat di TCIL, yang juga merupakan TRIZ Level 3 Practitioner dan TRIZ Level 2 Instructor. Beliau berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam menerapkan 40 Prinsip Inventif TRIZ sebagai strategi penyelesaian cabaran dalam industri dan akademik.

Sepanjang program selama dua hari ini, peserta menerima pendedahan intensif mengenai kaedah TRIZ yang dapat membantu mereka menghasilkan projek akhir yang lebih inovatif serta meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah secara sistematik.

Diharapkan program ini memberikan manfaat besar kepada semua peserta dalam memperkukuh daya cipta dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan inovasi di PMU.