Kuching, Sarawak – Pada 20-22 Januari 2025, Politeknik Mukah telah menganjurkan lawatan strategik dan tinjauan lokasi untuk memperkukuhkan persiapan penganjuran Technology & Innovation International Conference (TECHON) 2025 yang bertemakan "AI, TVET AND RENEWABLE ENERGY: DRIVING A SUSTAINABLE FUTURE THROUGH THE SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS."
Lawatan ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan penyelidikan, pembangunan, imej, dan kelestarian, di samping merancang aktiviti dan membina jaringan strategik dengan agensi utama seperti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Business Event Sarawak (BESarawak), dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Delegasi yang diketuai oleh Pengarah Politeknik Mukah, Suhaili bin Aleh, bersama barisan pengurusan tertinggi turut meninjau lokasi-lokasi berpotensi termasuk Borneo Convention
Centre Kuching (BCCK), Hikmah Exchange Event Centre, dan beberapa hotel terkemuka seperti Sheraton Hotel, Hilton Hotel, dan The Waterfront Hotel. Inisiatif ini bertujuan memastikan TECHON 2025 menjadi platform berimpak tinggi dalam memacu inovasi teknologi, pembangunan mampan, serta kolaborasi antara institusi akademik, industri, dan pihak berkepentingan.
TECHON 2025 dijangka menjadi titik pertemuan penting untuk memacu perubahan positif dalam teknologi dan pendidikan TVET di peringkat antarabangsa.
Dalam sesi lawatan yang sama, Pengarah Politeknik Mukah telah membentangkan secara dalam talian cadangan penganjuran TECHON 2025 sebagai persidangan peringkat antarabangsa kepada Jabatan Pendidikan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).