Bengkel KPI dan Pelan Tindakan 2025

MUKAH – 15 Januari 2025
Unit Pengurusan Prestasi (UPP) Politeknik Mukah telah menganjurkan Bengkel KPI dan Pelan Tindakan 2025 pada 15 Januari 2025 (Rabu) bertempat di Bilik Persidangan, Politeknik Mukah. Bengkel yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini telah dihadiri oleh semua ketua jabatan akademik dan bukan akademik, ketua unit pengurusan, wakil penyelaras pengurusan prestasi jabatan akademik, pegawai bertanggungjawab bagi setiap KPI, serta ahli jawatankuasa UPP.
Bengkel dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Politeknik Mukah yang diwakili oleh Timbalan Pengarah (Akademik), Encik Iskandar bin Reduan. Seterusnya, sesi pembentangan pencapaian KPI tahun 2024 telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras KPI PMU, Encik Adi Jaya bin Adam. Berdasarkan laporan tersebut, PMU berjaya mencapai 17 daripada 18 KPI yang telah ditetapkan, dengan skor keseluruhan sebanyak 99.87% bagi tahun 2024.
Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan tugas Pegawai Penyelaras KPI PMU. Ts. Fairose binti Mokhtar secara rasmi dilantik menggantikan Encik Adi Jaya bin Adam sebagai Pegawai Penyelaras KPI PMU yang baharu. Agenda bengkel diakhiri dengan pembentangan Pelan Tindakan 2025 oleh Ketua Unit Pengurusan Prestasi, Ts. Mariati binti Masduki, yang menjelaskan hala tuju serta sasaran strategik bagi setiap 18 KPI PMU untuk tahun 2025.
Tahniah dan penghargaan diberikan kepada seluruh warga Politeknik Mukah atas dedikasi dan kerjasama dalam merealisasikan pencapaian KPI. Semoga PMU terus komited ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang pada tahun 2025.