MUKAH - 13 Disember 2024 (Jumaat)
Politeknik Mukah (PMU) telah menerima Lawatan Penanda Aras daripada Kolej Laila Taib (KLT), Sibu. Seramai 10 orang delegasi dari Kolej Laila Taib yang terbahagi kepada 2 jabatan iaitu 6 orang daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik yang diketuai oleh En. Benard Wong King Wei dan 4 orang daripada Jabatan Kejuruteraan Awam yang diketuai oleh En. Lau Poh Yew.
Lawatan penanda aras tersebut bertujuan untuk perkongsian serta perbincangan mengenai pelaksanaan akreditasi Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) di Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah.
Lawatan bermula dengan sesi bergambar bersama Pengurusan Tertinggi Politeknik Mukah sebagai simbolik kerjasama erat antara kedua-dua institusi. Seterusnya, sesi ucapan aluan daripada Pengarah Politeknik Mukah dan En. Benard Wong King Wei, wakil delegasi Kolej Laila Taib turut diadakan, diikuti sesi perkongsian dan perbincangan terperinci mengenai dokumen serta amalan terbaik berkaitan akreditasi ETAC di Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah.
Selain daripada itu, lawatan ke bengkel dan makmal Jabatan Kejuruteraan Elektrik turut dijalankan seperti lawatan ke Makmal Mesin Elektrik (MME), Makmal Teknologi Elektrik (MTE), dan Makmal Projek. Manakala di Jabatan Kejuruteraan Awam pula, lawatan ke Makmal konkrit, Makmal Geoteknik, Makmal Struktur, dan Makmal Kualiti Air diadakan. Delegasi diberikan penerangan mengenai penggunaan peralatan di makmal. Aktiviti lawatan ini juga telah memberikan peluang kepada para delegasi untuk memahami lebih mendalam pendekatan pembelajaran berasaskan amalan (hands-on) yang diterapkan di Politeknik Mukah.
Melalui perkongsian ilmu, pengalaman, dan amalan terbaik seumpama ini bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara institusi tetapi juga menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini. Semoga hubungan strategik ini dapat menghasilkan kerjasama lebih banyak di masa akan datang, termasuk dalam bidang penyelidikan, inovasi, serta pengembangan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Sekali lagi, Politeknik Mukah mengucapkan jutaan terima kasih kepada delegasi daripada Kolej Laila Taib dan berharap agar hubungan baik ini dapat diteruskan. Sesungguhnya, lawatan seperti ini memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi bersama untuk melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.
![](/images/imej/Berita/BERITA2024/2024_KLT.jpg)