Mukah, 13 Disember 2024 – Program Sumbangan Foodbank Siswa Mukah 2024 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Mukah telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Politeknik Mukah (PMU). Program ini bertujuan membantu pelajar daripada keluarga B40 dalam mengurangkan beban kos sara hidup.
Sumbangan berupa makanan kering dan minuman bernilai anggaran RM 2,000.00 telah disumbangkan oleh syarikat Daro Fresh Mart dan akan disalurkan kepada pelajar yang memerlukan. Program ini dikelola oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Politeknik Mukah, yang memainkan peranan sebagai penyelaras utama Foodbank di PMU.
Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Puan Halimah binti Salleh, Penolong Pegawai Penguatkuasa, Timbalan Ketua Cawangan KPDN Mukah, serta Dr. Ting Yew Chai Pengarah Urusan DFM Prosper Sdn Bhd yang hadir menyampaikan sumbangan. Sumbangan telah disampaikan kepada Saudari Andrea, Pengerusi Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Politeknik Mukah, yang tampil menerima bagi pihak pelajar PMU.
Dalam ucapannya, Encik Suhaili bin Aleh, Pengarah Politeknik Mukah, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat Daro Fresh Mart dan pihak KPDN Mukah atas sumbangan tersebut. “Program seperti ini amat bermakna kepada pelajar-pelajar kita, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memerlukan bantuan dalam mengharungi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Program ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus memberi sumbangan dan bantuan bagi memastikan kelangsungan inisiatif Foodbank di PMU, sekaligus memberi impak positif kepada pelajar yang memerlukan.
