Lawatan Benchmarking Politeknik Mukah Ke i-CATS University College

Kuching, 23–24 April 2025 – Politeknik Mukah telah mengadakan lawatan penanda aras ke i-CATS University College, Kuching, sebagai satu inisiatif memperkukuh tadbir urus institusi dan memperluas amalan terbaik dalam pengurusan akademik serta pembangunan pelajar. Delegasi dari Politeknik Mukah yang terdiri daripada pegawai pengurusan dan ketua jabatan telah disambut oleh barisan pentadbiran i-CATS University College. Sepanjang dua hari lawatan tersebut, pelbagai sesi pembentangan, taklimat dan lawatan tapak telah diatur, meliputi pengurusan kurikulum, pembangunan staf, penyelidikan dan inovasi, serta hubungan industri. Lawatan ini memberi peluang kepada pihak Politeknik Mukah untuk meneliti pendekatan i-CATS University College dalam aspek pelaksanaan program pendidikan tinggi yang selaras dengan keperluan industri serta pembangunan TVET di peringkat negeri dan nasional. Antara fokus utama perbincangan ialah integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, strategi kolaborasi industri, dan pembangunan pelajar holistik.
Selain itu, lawatan ini turut membuka ruang untuk eksplorasi kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang penyelidikan, penganjuran program bersama, dan perkongsian sumber akademik antara kedua-dua institusi. Politeknik Mukah melihat lawatan penanda aras ini sebagai satu platform penting dalam usaha berterusan menambah baik tadbir urus institusi, memperkukuh kualiti pendidikan, serta memperluas jaringan strategik dengan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia.