Mukah, Sarawak - Sambutan Hari Kesukarelawanan Negara yang diadakan sempena Hari Belia Sarawak berlangsung dengan penuh semangat di Kingwood Resort, Mukah pada 4 hingga 8 Disember 2024 yang lalu. Program ini melibatkan penyertaan seramai 80 orang ahli Sekreteriat Rakan Muda dari Politeknik Mukah Sarawak yang aktif menyumbang tenaga dan komitmen dalam aktiviti kesukarelawanan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Royston Valentine, yang turut merasmikan papan tanda program sebagai simbolik kepada dedikasi dan semangat kesukarelawanan generasi muda. Papan tanda tersebut dihasilkan dengan penuh kreativiti oleh Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah, menonjolkan hasil kerja seni dan teknikal yang membanggakan.
Menurut YB Encik Royston Valentine, program ini adalah platform penting untuk memperkasakan nilai-nilai murni kesukarelawanan dalam kalangan belia, sekaligus menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara.
Penasihat Sekreteriat Rakan Muda Politeknik Mukah, Puan Norfaziela turut mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat atas usaha gigih mereka dalam menjayakan program ini. "Melalui kesukarelawanan, pelajar bukan sahaja mendapat pengalaman bermakna, tetapi juga belajar untuk memberi kembali kepada masyarakat," ujar beliau.
Program ini mendapat sambutan hangat daripada peserta dan pihak komuniti, yang turut bersama-sama memeriahkan acara. Aktiviti yang dijalankan termasuk gotong royong membersihkan pantai dan sukan rakyat.
Sambutan Hari Kesukarelawanan Negara ini diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat perpaduan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kesukarelawanan.
