Program Membina Masa Depan: Kerjasama Strategik Tingkatkan Kesejahteraan Komuniti Sibu

Sibu, 25 Oktober 2024 – Program Membina Masa Depan, yang dianjurkan dengan kerjasama CISEC, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Society of IT Student (SITS), dan UNESCO, berlangsung hari ini di PERKEB, Sibu. Program ini bertujuan memperkukuh kesejahteraan komuniti dengan menawarkan peluang-peluang strategik yang menyokong pembangunan industri dan sosial.
Dalam sesi ini, Tuan Zainal bin Abu, penceramah utama program ini, menekankan kepentingan ilmu dan latihan industri dalam membina masa depan belia dan komuniti secara keseluruhan. Program ini menawarkan pelbagai peluang latihan industri untuk pelajar, termasuk pengalaman praktikal dalam bidang pertanian dan teknologi. Selain itu, pelajar dan staf berpeluang mengaplikasikan rekaan kreatif dalam sektor agrotani.
Antara objektif utama program ini adalah memperkenalkan agrotani sebagai pilihan kerjaya alternatif, khususnya dalam ekonomi masa kini yang semakin mencabar. Program ini juga membuka ruang bagi staf akademik dan industri untuk memberi sumbangan kepada komuniti setempat, sekaligus merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan masyarakat.
Program Membina Masa Depan dijangka mampu memberi impak positif dalam memperkasakan komuniti Sibu melalui kerjasama strategik dan sokongan daripada pelbagai pihak.